KeNYataan AKHBAR Penduduk Wawasan Rumah Rajang Suai, Niah
Tarikh: 7/12/2009
Memohon kawasan kebun dan kawasan rumah panjang supaya dikeluarkan dari Provisional Lease (PL) Syarikat Megajutamas Sdn Bhd.
Kami penduduk di Ulu Suai, Niah seramai 22 keluarga yang mengusahakan kebun di Lot 95, Kem 15, Rumah Rajang, Jalan BLD, Sawai, dengan ini memohon kepada Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, wakil rakyat kami di kawasan Kemena YB Stephen Rundi Ak Utom dan juga kepada Kerajaan Negeri Sarawak supaya kawasan kebun kami dikeluarkan daripada PL pihak Syarikat Megajutamas Sdn Bhd.
Kami telah meneroka kawasan tersebut sejak dari tahun 1990-an dengan menanam berbagai tanaman seperti buah-buahan, padi huma, lada hitam dan juga kelapa sawit. Kami tidak pernah dihalang oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri Sarawak dan juga penduduk asal di kawasan ini iaitu masyarakat Penan untuk menduduki kawasan ini. Pada tahun 2005, kami dikejutkan dengan kedatangan Syarikat Megajutamas yang telah diberikan PL oleh Kerajaan Negeri tanpa pengetahuan kami.
Semenjak kedatangan syarikat tersebut, kami penduduk yang terlibat telah menghadapi berbagai masalah. Mula-mula kami dituduh menceroboh kawasan syarikat. Kawasan kebun kami dimusnah oleh jentera syarikat. Kami diugut dengan samseng , ditakutkan oleh anggota polis, dipaksa rela untuk menjual kebun kepada mereka (Syarikat Megajutamas Sdn Bhd.) sehingga 5 orang di antara kami ditahan di lokap polis.
Apa yang mengejutkan kami adalah pelbagai usaha telah dilakukan dan banyak pihak telah kami hubungi untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi pihak berkenaan seolah-olah tidak memperdulikan masalah kami. Langkah akhir yang kami lakukan adalah memfailkan kes ini di Makhamah Tinggi. Walaubagaimanapun, pihak makhamah mencadangan agar kami selesaikan masalah ini di luar makhamah.
Setakat ini, jumlah keluarga yang masih mengusahakan kebun di Lot 95, Suai, Niah ini adalah seramai 22 keluarga sahaja dan jumlah kawasan yang diusahakan cuma 253.53 hektar. Kami yang mengusahakan kebun di Lot 95 ini adalah penduduk daripada 5 buah rumah panjang iaitu Rumah Rajang, Rumah Tapu, Rumah Umpur, Rumah Sabang dan Rumah Atat.
Kawasan pertikaian adalah satu kawasan yang sangat kecil bagi syarikat kaya seperti Syarikat Megajutamas Sdn Bhd. Akan tetapi kawasan tersebut sangat penting untuk kami kerana kawasan pertikaian tersebut bukanlah untuk kemewahan bagi kami, tetapi untuk meneruskan kehidupan kami.
Oleh itu, kami memohon agar kawasan Lot 95, terutamanya kawasan yang telah kami teroka lebih awal daripada Syarikat Megajutamas Sdn Bhd. diakui sebagai hakmilik NCR kami, rakyat miskin yang memerlukan pembelaan dan perlindungan.
Akhir sekali, kami, penduduk kampong mohon agar masalah ini diselesaikan secara halus oleh pihak kerajaan selaras dengan slogan yang seringkali dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan”.
Sebelum ini kami pernah mempunyai masalah dengan Syarikat Saremas (PPB Oil Palm Sdn. Bhd.) di mana jalan kebun kami dikorek dan diputuskan. Walaubagaimanapun, masalah tersebut dapat diselesaikan dengan cara halus dan baik dan kami berterima kasih kepada PPB Oil Palm Sdn. Bhd. yang bersetuju untuk membina semula jalan yang menghubungi kawasan kebun kami. Kami berharap syarikat-syarikat lain turut mencontohi PPB Oil Palm Sdn. Bhd. yang mengambil berat masalah orang kampung demi kebaikan bersama.
Harus diketahui oleh pihak syarikat, kami tetap mempertahankan hak kami. Biar kalah di makhamah, Di Tanah kami tidak akan menyerah. Kami menentang segala jenis penindasan ke atas hak-hak kami.
Kenyataan akhbar ini dikeluarkan oleh:
AJK Kampung Wawasan
Wakil-wakil Rumah Tapu, wakil-wakil Rumah Sabang, wakil-wakil Rumah Umpur dan wakil-wakil Rumah Atat
- December 8th



Leave a Reply